Sunday, February 8, 2009

Haru Biru!!!

Sering, saya mengimpikan pada suatu hari nanti Malaysia akan mempunyai sistem dua parti. Di Amerika Syarikat, ada Republikan dan Demokrat. Walaupun ada lain-lain parti, mereka hanyalah parti-parti kecil dengan agenda perjuangan yang terbatas. Alaaa, macam AKIM tu.

Atau, Parti Sosialis.Di Amerika Syarikat, Republikan dan Demokrat bekerjasama di Dewan Perwakilan (House of Representatives) dan Senat. Tidak ada kerajaan.

Tidak ada pembangkang. Yang ada ialah majoriti dan minoriti. Ahli-ahli bekerjasama antara satu sama lain. Istilah "bipartisan initiatives" adalah merupakan perkataan yang sentiasa bermain di bibir ahli-ahli politik. Rang undang-undang ditampilkan secara "co-sponsor".

Apabila PAS, DAP dan PKR memenangi banyak kerusi dalam PRU12 lalu, saya berfikir "Aha, ini adalah permulaan kepada sistem demokrasi dua parti di Malaysia." Walaupun saya tahu wujud "fundamental differences" antara PAS, DAP dan PKR, namun saya berharap parti-parti ini yang membentuk Pakatan Rakyat akan mengimbangi kuasa Barisan Nasional."Check and balance" adalah merupakan sesuatu yang baik dalam sistem demokrasi.

John Emerich Edward Dalberg Acton (1834–1902) dalam suratnya kepada Bishop Mandell Creighton menulis "Power tends to corrupt, and absolute power corrupts absolutely. Great men are almost always bad men."Pada peringkat permulaan sesebuah negara, kewujudan sebuah parti yang dominan memudahkan proses pembangunan.

Dengan majoriti dua pertiga di Dewan Rakyat dan Dewan-dewan Undangan Negeri, Barisan Nasional telah melaksanakan pelbagai dasar dan program untuk rakyat tanpa merujuk kepada pihak-pihak lain. Rakyat pula terus memberikan mandat kepada BN kerana mereka dapat melihat manfaat daripada sebuah kerajaan yang kuat.

Bagaimanapun, selepas 50 tahun dan setelah pembangunan negara mencapai satu tahap yang baik, keperluan rakyat berubah. Sementara mereka menghargai sumbangan BN dalam pembangunan, rakyat hari ini inginkan suara mereka didengari, isu mereka mereka diketengahkan dan peranan mereka ditingkatkan.

Dalam PRU12, Pakatan Rakyat telah menjual isu-isu tersebut dengan baik. Akhirnya, rakyat memberikan banyak kerusi Dewan Rakyat kepada PAS, PKR dan DAP.

Rakyat berharap Barisan Nasional dan Pakatan Rakyat akan sama-sama kuat dan saling bekerjasama. Apabila ini berlaku, akhirnya rakyat yang untung.Malangnya, selepas PRU12 kerajaan Pakatan Rakyat di beberapa buah negeri sibuk bercakap untuk melondehkan pemimpin BN yang menerajui negeri-negeri tersebut sebelumnya.

Apabila timbul masalah, salahkan Barisan Nasional yang memerintah terdahulu. Isu-isu remeh dibesar-besarkan dan menjadi bahan polemik dalam masyarakat. Rakyat yang jahil sistem pengurusan kerajaan menjadi keliru.

Kemudian, datang peristiwa 16 September 2008. Pakatan Rakyat bercita-cita besar untuk mengambilalih Kerajaan Persekutuan dengan menarik Ahli-ahli Parlimen BN melompat parti. Satu demi satu pengumuman dibuat.

Pada penghujungnya, berlaku insiden kejar-mengejar sehinggalah ke Taiwan. Semua orang melihat insiden itu dengan cemas.Akhirnya, tidak ada apa-apa berlaku.

Barisan Nasional terus memerintah dan Dato' Seri Anwar Ibrahim hanya mampu menjadi Ketua Pembangkang di Parlimen. Niat untuk "dari Permatang Pauh ke Putrajaya" tidak dapat direalisasikan.

Rakyat menghabiskan banyak masa menonton dan bercakap drama politik tersebut.Ingatkan peristiwa tersebut habis di situ saja. Pelbagai pihak berharap untuk melihat BN dan Pakatan Rakyat belajar dari peristiwa itu dan mula bekerjasama.

Duduk semeja dan suburkan sistem demokrasi dua parti. Ya, memang wakil rakyat BN dan Pakatan Rakyat duduk semeja, namun ia tidak lebih dari sekadar untuk merokok dan berkongsi teh tarik di Parlimen.

Selebih dari itu, mereka tidak mampu berpakat. Mereka tidak mampu bekerjasama untuk rakyat.Ketegangan bermula kembali apabila ADUN Bota Dato' Nasaruddin Hashim dilaporkan masuk PKR.

Tidak sampai dua minggu kemudian, Dato' Dr Zamry Kadir mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Perak setelah Nasaruddin kembali kepada UMNO, manakala dua orang bekas wakil rakyat PKR dan seorang bekas wakil rakyat DAP menyatakan sokongan kepada BN untuk membentuk kerajaan di hadapan Sultan Perak.Saya tidak fikir drama pertentangan antara BN dan Pakatan Rakyat akan berhenti di sini. BN akan terus mengintai peluang mengambilalih kerajaan di Kedah dan Selangor, manakala Pakatan Rakyat akan terus berusaha mendapatkan semula Perak.

Malah, saya tidak terkejut sekiranya selepas ini Pakatan Rakyat akan mengumumkan "Projek 16 September II". Dalam politik, itu bukanlah sesuatu yang mustahil. Anwar yang sebelum ini mengetuai ops menukar kerajaan di Sabah pada tahun 1994 dan berjaya dalam misi ini, tahu ia boleh dilakukan.

Persoalannya sekarang ialah adakah ini yang dikehendaki oleh rakyat apabila mereka mengundi pada 8 Mac tahun lepas?Pada masa yang sama, kita juga ingin menghadapkan soalan: Adakah kita hidup hanya dengan politik semata-mata?Bagaimanakah pula dengan ekonomi?Malaysian Investors' Association (MIA) menyalahkan ahli-ahli politik yang sibuk berpolitik sebagai punca kepada aliran keluar foreign direct investment (FDI).

JP Morgan dan Bank of America juga menyebut bahawa keadaan politik sekarang memberikan impak negatif kepada pasaran saham.Menurut MIA, pelabur domestik dan antarabangsa bimbang dengan iklim politik yang tidak menentu di negara ini.

Yalah, kalau bertukar kerajaan, ada kemungkinan dasar juga bertukar. Ini boleh menjejaskan pelaburan mereka.Menurut MIA, nilai pasaran KLCI pada awal Januari 2008 ialah RM1.1 trillion.

Kini ia turun sebanyak 40.4 peratus kepada sekitar RM656 juta.Sementara itu, Malaysian Institute of Economic Research (MIER) berkata anggaran GDP bagi 2008 ialah 5.1 peratus, iaitu lebih rendah dari 5.5 peratus yang diunjurkan sebelumnya. Manakala ramalan pada tahun ini diubah dari 3.4 peratus kepada hanya 1.3 peratus.

Bagaimanakah angka-angka ekonomi ini memberi makna kepada rakyat biasa?Reuters memetik Menteri Sumber Manusia, Dato' Dr S Subramaniam sebagai berkata sebanyak 15,000 rakyat kehilangan pekerjaan pada bulan Januari tahun ini.

Penganalisis ekonomi meramalkan sebanyak 40,000 hingga 50,000 orang akan hilang pekerjaan dalam suku tahun pertama 2009.Pada penggal ketiga 2008, kadar pengangguran ialah 3.1 peratus. Menurut Majlis Tindakan Ekonomi Negara, kadar ini dianggarkan meningkat dua kali ganda kepada sehingga 6 peratus tahun ini.

Nah, berapa ramai tu dari 12 juta pekerja di Malaysia?Hari ini rakyat Malaysia berbalah dan berdemonstrasi mengenai parti politik manakah yang patut atau tak patut mentadbir Perak.

Yang jahil undang-undang pun ramai dah mula jadi peguam!Kebimbangan saya ialah beberapa bulan lagi apabila ramai rakyat Malaysia dibuang kerja dan banyak syarikat yang bungkus, rakyat akan sekali lagi turun di jalanan.

Kali ini mereka bukan lagi berdemonstrasi untuk memilih antara BN atau Pakatan Rakyat. Tetapi, memilih antara pekerjaan dan pengangguran; antara makanan dan kelaparan.Tatkala itu, rakyat akan menyalahkan BN dan Pakatan Rakyat atas masalah yang melanda.

Ahli-ahli politik akan dilihat sebagai kelompok oportunis yang memperjuangkan kepentingan sempit diri sendiri.

Impian untuk melihat sistem dua parti hancur berkecai.Mustahil? Saya tidak fikir begitu. Itulah yang akan berlaku apabila politik sudah tidak membawa manfaat kepada rakyat.

No comments:

Powered By Blogger

Anda adalah pelawat yang ke.....

;

King Of The KOPS

King Of The KOPS

About Me

Hanyalah Manusia Biasa.............

Blog Archive

My Blog List

Selamat Datang - Trafik Tak Jem Hari Ini !!

Followers

Islamic Hijri Calendar