Monday, December 28, 2009

Tok Guru Bersetuju dengan Datuk Ahmad Said

KOTA BHARU, 28 Dis: Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menyokong seratus peratus tindakan yang dilakukan Menteri Besar Terengganu, Datuk Ahmad Said yang tetap bertegas meneruskan saman terhadap Petronas berhubung pembayaran royalti minyak kepada Terenngganu.

Nik Abdul Aziz yang juga Menteri Besar Kelantan berkata, Kelantan mungkin akan meniru cara yang dilakukan Terengganu itu berhubung dengan pembayaran royalti minyak kepada Kelantan, katanya pada satu majlis di Medan Ilmu di sini baru-baru ini.

Dalam sidang Dun Terengganu baru-baru ini, ketika menjawab soalan lisan PAS Rhu Rendang, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang, Ahmad Said berkata kerajaan negeri menolak jumlah bayaran dari kerajaan pusat.

Menurutnya, Kerajaan Negeri telah menjelaskan secara detail kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak betapa perlunya Kerajaan Pusat mengembalikan hak rakyat Terengganu mengikut perjanjian asal.

Selain itu, Terengganu memutuskan bahawa royalti dibayar terus oleh Petronas kepada Kerajaan Negeri, manakala semua pembayaran yang telah dibuat oleh Petronas kepada Kerajaan Persekutuan dalam tempoh 2000 hingga 2009 adalah dianggap pembayaran royalti kepada Terengganu.

Jumlah royalti yang dituntut Kerajaan Negeri Terengganu bagi 2000 hingga 2009 sebanyak RM2.792 bilion, namun Kementerian Kewangan tetap dengan keputusannya untuk membayar balik wang itu sebanyak RM1.686 bilion saja.

"Selagi perkara itu tidak diselesaikan, (maka) perjanjian (berkaitan) tidak akan ditandatangani.

"Dan kerajaan negeri Terengganu akan menarik balik kes mahkamah jika kerajaan negeri berpuas hati dengan jumlah royalti yang akan dibayar, " tegas Ahmad Said.

Dalam perkembangan yang sama, Naib Presiden PAS Salahuddin Ayub mendakwa Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Nazri Tan Sri Aziz bermuafakat memberi jawapan bahawa 'Kelantan tidak ada hak untuk mendapatkan royalti lima peratus'.

"Kerajaan Barisan Nasional (BN) merupakan kerajaan yang pekak badak sama ada Perdana Menteri yang memberikan jawapan kepada soalan saya dalam Parlimen serta jawapan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Nazri Tan Sri Aziz; kedua-duanya bersepakat, setelah segala perbahasan dan perdebatan berlangsung berjam-jam lamanya dalam Parlimen, akhirnya jawapan yang diberikan 'Kelantan tidak ada hak untuk mendapatkan royalti lima peratus'.

"Itu jawapan mereka, sebagaimana yang tercatat dengan jelas di dalam Penyata Rasmi Parlimen (Hansard Parlimen).

"Segala ruang, segala peraturan, segala medan dan segala platform yang diwujudkan atas nama demokrasi dalam negara kita, kita telah gunakan semaksima mungkin untuk memperjuangkan hak kita ini," kata Salahuddin pada satu majlis ceramah dekat sini baru-baru ini.

Beliau berkata, sama ada di dalam atau di luar Parlimen, pemimpin Pakatan Rakyat khususnya PAS memperkatakan perkara itu termasuk pada majlis ceramah umum di seluruh negara, dengan menyatakan fakta berkaitan.

"Dan kita bersedia untuk bertanggungjawab hatta kalau kita diheret ke mahkamah sekali pun, kita akan berdiri dengan teguh dan berani untuk memperjuangkan hak rakyat negeri Kelantan ini di mana-mana pentas, insya Allah," katanya.

Timbalan Menteri Kewangan Datuk Dr Awang Adek Hussin ketika mengulas tuntutan royalti minyak oleh Kelantan berkata tuntutan royalti minyak tersebut masih dalam peringkat kajian.

Ini kerana kawasan tempat minyak dijumpai itu berada di zon antarabangsa di mana kedua-dua kawasan itu terletak terlalu jauh dari pesisir pantai Kelantan.

Oleh itu pendapatan dari minyak tersebut, kata Awang Adek, adalah lebih sesuai diberikan kepada Kerajaan Persekutuan bagi perbelanjaan pembangunan negara dan bukan tertumpu kepada Kelantan saja.

Dengan tuntutan dianggarkan berjumlah RM1 bilion yang tertunggak sejak 2004 itu, Kerajaan Kelantan telah membuat tuntutan pembayaran royalti tersebut kepada Kerajaan Persekutuan bermula Jun lalu.

Menurutnya, salah satu kawasan tersebut berhampiran dengan Vietnam yang merupakan perairan antarabangsa sejauh 250 kilometer dari pesisir pantai Kelantan, sementara kawasan kedua terletak 150 kilometer dari pantai dan berada di perairan bersama dengan negara jiran, Thailand.

Salahuddin menegaskan, kemunculannya pada platform ceramah siri 'roadshow' ke seluruh negara tidak bercakap dengan hanya menggunakan faktan yang boleh dipertikai dan diperlekehkan. Apa yang diperjuangkan rakyat Kelantan itu adalah merupakan hak mereka, yang dijamin oleh Perlembagaan negara.

"Rakyat Kelantan sebahagian daripada rakyat dalam negara ini, sebagaimana setiap inci tanah Kelantan ini merupakan sebahagian daripada sebuah negara Malaysia. Perkara ini perlu dijelaskan dengan lebih kerap dan serius untuk menyedarkan semula rakyat di negara ini.

"Ini kerana mutakhir ini sikap, perbuatan dan perilaku pemimpin Umno dan BN telah sampai pada peringkat seperti perompak dan penyamun. Mereka dengan sewenang-wenangnya cuba untuk mengelirukan dan mereka sengaja berbuat demikian hanya di atas sifat kebuasan nafsu serakah mereka, tidak lagi menghormati perundangan negara yang termaktub dengan jelas.

"Mereka tidak lagi menghormati Rukunegara yang diajar kepada rakyat dan anak-anak yang menuntut di bangku sekolah. Antaranya, 'Kedaulatan Undang-Undang' dan 'Keluhuran Perlembagaan'," katanya.

Oleh itu, kata Salahuddin, hak rakyat Kelantan untuk mendapatkan pembayaran royalti lima peratus itu adalah hak yang dijamin oleh Perlembagaan. Hak yang sepatutnya dihormati oleh sesiapa saja yang diberi mandat oleh rakyat mengurus tadbir negara ini.

"Negara yang bernama 'Malaysia' tidak mungkin wujud, dan tidak mungkin terjadi pada 16 September 1963 tanpa persetujuan daripada negeri-negeri yang terdapat di dalam Persekutuan Tanah Melayu pada waktu itu dan persetujuan rakyat di Sabah dan Sarawak melalui suatu referendum yang diadakan di mana rakyat di Sabah dan Sarawak bersedia untuk merelakan neger-negeri mereka bercantum dalam sebuah negara yang bernama 'Malaysia'.

"Kita perlu mengingatkan perkara ini yang mungkin Najib Tun Razak - mungkin atau sengaja - melupakan fakta penting ini yang berkemungkinan pemikiran beliau tidak lagi waras dan sempurna mungkin, akibat dikejar oleh 'hantu Altantuya'.

"Kita tidak akan berganjak walau seinci pun untuk terus memperjuangkan, yang insya Allah pada akhirnya nanti mudah-mudahan apa yang menjadi matlamat dan menjadi doa kita semua ialah agar rakyat negeri Kelantan mendapat hak lima peratus pembayaran royalti petroleum ini daripada pihak Petronas.

"Inilah yang didoakan oleh Tok Guru kita di mana akhirnya setelah berlangsung segala perdebatan, perbahasan, perbincangan sama ada (secara) 'G to G' - wakil Kerajaan Negeri, Jawatankuasa Kewangan Negeri yang setiap bulan mengadakan mesyuarat kewangan di Putrajaya, memakan masa lima tahun lamanya sejak 2004.

"Setelah segala prosidur, segala peraturan, segala ruang dan segala waktu telah kita gunakan dengan cara yang cukup diplomatik; sama ada dalam Parlimen atau di luar Parlimen, (ianya) tidak dihiraukan dan tidak diendahkan oleh Kerajaan BN, maka akhirnya kita hanya ada satu pilihan saja lagi itulah mendoakan agar Kerajaan BN ini dijahanamkan oleh Allah swt," katanya sambil memberitahu kesangupan YBM Tengku Razaleigh Hamzah untuk mengetuai suatu jawatankuasa yang dibuat di dalam Parlimen, 'kaukaus' - jawatankuasa yang ditubuhkan oleh Ahli-Ahli Parlimen mengenai pembayaran royalti petroleum.

Salahuddin menegaskan bahawa apa yang diusahakan itu bukan sekadar untuk memperjuangkan hak rakyat negeri Kelantan tetapi penubuhan jawatankuasa itu juga untuk bersama-sama memperjuangkan hak rakan-rakan di Terengganu, Sabah dan Sarawak.

"Bukan sekadar kita mahukan hak ini dikembalikan kepada rakyat negeri Kelantan lima peratus tetapi kita juga memperjuangkan agar negeri-negeri yang mengeluarkan hasil petroleum itu diberikan lebihan iaitu dinaikkan lagi royalti ini bagi negeri-negeri Terengganu, Sabah, Sarawak dan Kelantan kepada paling kurang sebanyak 10 %. Bukan sekadar lima peratus.

"Hasil bumi ini mestilah diserahkan kembali kepada negeri-negeri yang mengeluarkan hasil petroleum dan logam - minyak dan gas," katanya.

"Mengenai kenapa memilih YBM Tengku Razaleigh Hamzah sedangkan beliau (masih) Umno lagi, dia tidak keluar lagi daripada Umno, bahkan masih lagi Umno. Kenapa?

"Jawabnya kerana dia pun dalam kenyataan-kenyataan dia di luar dan di dalam Parlimen - setakat malam ini - Tengku Razaleigh Hamzah berpendirian bahawa rakyat Kelantan berhak untuk mendapat pembayaran lima peratus royalti petroleum itu - walau pun dia Umno, beliau bersedia untuk mengetuai jawatankuasa ini.

"Dan seorang lagi tokoh yang bertanggungjawab membuat Akta 144 - Akta Pembangunan Petroleum yang diluluskan oleh Parlimen dalam tahun 1975 - iaitu Tun Salleh Abbas yang pada waktu itu juga bertanggungjawab menulis cadangan Akta tersebut sehinggalah diluluskan oleh Parlimen pada tahun 1975.

"Dua orang saksi yang masih hidup ini yang merupakan 'arkitek' kepada Akta 144 ini; YBM Tengku Raleigh Hamzah dan juga yang menulis Akta ini Tun Salleh Abbas mantan Ketua Hakim Negara;

"Kedua-duanya telah berjumpa. Kami Ahli-Ahli Parlimen telah pun mengadakan perbincangan dengan kedua-dua tokoh ini dan mereka bersependapat dan tidak sedikit pun berbeza pandangan di bawah Akta 144 ini bahawa adalah menjadi hak rakyat Kelantan untuk mendapatkan pembayaran royalti lima peratus itu.

"Namun kenapa Umno-BN tidak mahu memberikan hak ini kepada rakyat Kelantan, pasal apa? Tidak lain dan tidak bukan kerana hasad, dengki dan dendam kesumat mereka terhadap rakyat Kelantan.

"Kenapa selepas PAS dapat memerintah negeri Terengganu tahun 1999, daripada tahun 1978 - tahun pertama Petronas membayar royalti lima peratus kepada Kerajaan Negeri Terengganu hingga tahun 1999 bahawa dalam laporan Petronas, dalam laporan Jabatan Perangkaan Negara adalah jelas membuktikan terma yang digunakan ialah "pembayaran royalti petroleum".

"Dan apabila PAS memerintah Terengganu tahun 2000, dia rompak, dia lanun duit itu.

"Selepas mereka merampas balik (Terengganu), maka diberi semula atas nama royalti petroleum lima peratus kepada Kerajaan Negeri Terengganu, apa sebabnya?

"Jahat atau tidak Umno ni? Jahat, makhluk ni jahat," katanya, sinis.

Ahli Jawatankuasa Kelab Balkis Kelantan, Mohd Efendy Daud mendakwa dua menteri Pusat yang juga anak Kelantan dan konco-konconya dalam Umno itu lebih berkepentingan peribadi daripada membela nasib rakyat
Kelantan.

"Mereka hanya mampu menyebut slogan 'tradisi membela rakyat' dan 'rakyat didahulukan', namun sebenarnya mahu 'menghapuskan (kebangkitan) rakyat'', katanya.

Beliau mendakwa sejak lama dahulu anak anak Kelantan ramai yang berkhidmat sebagai menteri di Pusat, namun pembangunan di negeri ini tidak banyak mereka lakukan.

"Pada saya, mereka itu sebenarnya bukan pejuang rakyat tetapi (berjuang) untuk kepentingan peribadi.

"Sekiranya mereka serius membela nasib rakyat dan negeri ini, tentu mreka tidak menentang arus dalam membela hak rakyat Kelantan (tuntutan royalti minyak) itu, bahkan mereka mesti menyatakan kebenaran dalam isu tuntukan royalti minyak," katanya.

< Prev Next >

No comments:

Powered By Blogger

Anda adalah pelawat yang ke.....

;

King Of The KOPS

King Of The KOPS

About Me

Hanyalah Manusia Biasa.............

Blog Archive

My Blog List

Selamat Datang - Trafik Tak Jem Hari Ini !!

Followers

Islamic Hijri Calendar