Monday, October 12, 2009

FA Corp mahu jadi 'bapa' francais









Fadzil Affandi Corporation Sdn Bhd (FA Corp) mahu menjadi ‘bapa’ atau peneraju francais di negara ini untuk membantu masyarakat terutama Bumiputera dalam bidang perniagaan dengan mengukuhkan jenama tempatan.

Pengarahnya, Mohd Fadzil Hashim berkata, perniagaan francais adalah bidang paling mudah kerana aspeknya terancang seperti pemasaran dan pengeluaran.

Menurutnya, lebih banyak perniagaan runcit akan diusahakan dengan meneroka pasaran baru sekali gus memudahkan sesuatu perniagaan itu dijadikan francais.

“Semuanya akan dijadikan sebagai satu jenama francais pada masa akan datang, bersesuaian dengan matlamat untuk melahirkan lebih ramai usahawan.

“Kami mahu mereka fokus untuk berjaya, berjuang demi agama, bangsa dan negara tanpa memikirkan keuntungan semata-mata,” katanya kepada Sinar Harian.

FA Corp mempunyai pelbagai skop perniagaan seperti makanan, telekomunikasi, percetakan, agro pertanian, pelaburan dan pembangunan.

Syarikat itu turut terlibat dalam khidmat runding bagi penjenamaan semula, permodelan perniagaan dan bimbingan usahawan di bawah program ‘Rakan Niaga’.

Beberapa syarikat sudah pun dijenamakan semula seperti Jambu 88 Enterprise, Reenfroz Consulting, Life Saver Asia, MyDistributor dan Caturan Moden Sdn Bhd.

Visi capai bebas kewangan

Mohd Fadzil berkata, visi FA Corp adalah mencapai bebas kewangan melalui pendidikan semula perniagaan.

Menurutnya, sejajar hasrat itu, terdapat misi untuk menjenamakan semula 1,000 syarikat dan produk dan melahirkan 1,000 jutawan.

“Saya percaya setiap orang mampu, berhak dan patut memiliki kebebasan kewangan melalui pendidikan semula perniagaan berasaskan sistem bimbingan perniagaan antarabangsa,” katanya.

Proses penjenamaan atau permodelan semula mengambil masa sehingga tiga bulan untuk syarikat yang berminat mendapatkan khidmat nasihat.

Beliau berkata, proses tersebut membabitkan dua peringkat iaitu menyelaraskan visi dan misi usahawan dengan perniagaan.

“Kemudiannya, kami merangka pelan perniagaan mereka dan membantu melaksanakannya sejajar penyelerasan itu.

“Perkhidmatan ini tidak terhad untuk syarikat Bumiputera sahaja, malah turut terbuka kepada syarikat atau perniagaan bukan Bumiputera,” katanya.

Lebih fokus MyNasi Lemak

FA Corp mempunyai perniagaan makanan, MyNasi Lemak yang dijangkakan menjadi penyumbang terbesar kepada perolehan syarikat akan datang.

Justeru, MyNasi Lemak diberikan fokus ketika ini meskipun MyDistributor, perniagaan teknologi maklumat menyumbangkan perolehan kira-kira RM30 juta.

“Ini kerana dilihat sebagai perniagaan yang mampu menarik minat orang ramai untuk berniaga dan berpotensi meraih keuntungan.

Bagaimanapun, FA Corp hanya mengambil keuntungan melalui penjualan nasi lemak tanpa membabitkan sumber daripada kos gerai, peralatan dan bahan mentah.





Setakat ini, terdapat 20 kiosk MyNasi Lemak di seluruh Lembah Klang dengan purata pendapatan harian RM500 dan mensasarkan jualan maksimum RM840.

Menurutnya, setiap kiosk menjual nasi lemak dengan menu tambahan, antaranya ialah ayam goreng, daging ‘Palembang’ dan sambal sotong.

“Terdapat perancangan untuk memperkenalkan pakej kombo ‘MyNasi Lemak’ iaitu nasi lemak dengan air cincau pandan.

“Kami juga mahu menubuhkan entiti lain MyNasi Lemak, mendapatkan lesen bagi perniagaan francais termasuk rundingan untuk membekalkan nasi lemak sebagai hidangan dalam pesawat AirAsia,” katanya.

Optimis untung akhir tahun

Mohd Fadzil berkata, FA Corp optimis mencatatkan keuntungan menjelang akhir tahun ini berdasarkan perkembangan kepenggunaan sejak beberapa bulan lalu.

Keadaan itu akan membantu FA Corp mencapai sasaran tahunan syarikat dan yakin pertumbuhan kekal positif dalam tempoh tiga bulan sehingga akhir tahun.

“Semua ‘pilot’ perniagaan runcit dijalankan pada Oktober dan November lalu berdasarkan keuntungan yang disumbangkan oleh sektor teknologi maklumat.

“Kos operasi perniagaan runcit agak tinggi, namun cukup untuk mendapatkan pusingan modal MyNasi Lemak meskipun masih belum menguntungkan,” katanya.

Menurutnya, momentum perniagaan begitu baik seperti yang ditunjukkan menerusi syarikat Eleven Mile Corporation Sdn Bhd, MyCatering dan anak-anak syarikat lain.

“Pihak berkuasa tempatan (PBT) juga sudah mula menerima konsep MyNasi Lemak dengan memberikan peluang usahawan untuk berniaga,” katanya.

Bagaimanapun beliau berkata, diharapkan kerajaan dapat menawarkan geran untuk meluaskan pasaran kerana sebelum ini hanya bergantung kepada modal sendiri.

“Kami turut berharap dapat menggandakan jumlah struktur MyNasi Lemak kepada 100 kiosk dan 50 rakan niaga tahun depan,” kata Mohd Fadzil.

No comments:

Powered By Blogger

Anda adalah pelawat yang ke.....

;

King Of The KOPS

King Of The KOPS

About Me

Hanyalah Manusia Biasa.............

My Blog List

Selamat Datang - Trafik Tak Jem Hari Ini !!

Followers

Islamic Hijri Calendar