Wednesday, October 6, 2010

Anwar dan PKR Perlu Sedar Diri!!!

Dipetik dari blog Greenboc.

FMT Dianggap Bersuara Seperti Utusan Malaysia

SHAH ALAM 5 Okt - Tindakan portal berita FreeMalaysiaToday (FMT) yang dilihat cuba melaga-laga serta memburuk-burukkan kepimpinan Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) diibaratkan sebagai 'gunting dalam lipatan' dan 'api dalam sekam'.

Peribahasa ini dikaitkan dengan FMT apabila portal berita itu menyerang pimpinan utama KEADILAN iaitu Ketua Umum, Datuk Seri Anwar Ibrahim sejak beberapa bulan lalu.

Ini terbukti dengan paparan artikel, berita dan ulasan yang menghentam kepimpinan Anwar serta pimpinan kanan parti antaranya berhubung isu KEADILAN Sabah dan lebih nyata lagi ketika kempen Pemilihan 2010 yang berlangsung sekarang.

Antara tajuk artikel yang dimuatkan di dalam portal tersebut yang dianggap anti-Anwar dan KEADILAN adalah seperti 'Mahathir kicked Anwar out of UMNO, yes, but who will now kick UMNO out of Anwar?', 'Why Anwar will not enter the fray in PKR polls', 'PKR election mess fault of Anwar-Azmin', 'Anwar is a liar, says Muhyiddin' serta 'PKR to kick our Zaid?'

Timbalan Ketua Angkatan Muda KEADILAN, Fariz Musa menyifatkan sikap FMT itu menunjukkan ia seolah-olah berniat memporak-perandakan KEADILAN dengan serangan terhadap parti serta barisan kepimpinannya.

"Kita sebagai anggota parti berasa kesal dan kurang senang dengan agenda mereka ini. Mereka nampaknya amat senang mengkritik segala isu dalaman parti khususnya terhadap Anwar sebagai Ketua Umum.

"Kalau kita tengok fokus FMT adalah menyerang Anwar bertubi-tubi dan tidak ubah seperti 'gunting dalam lipatan' atau dalam peribahasa lain, 'api dalam sekam'," tegas beliau ketika dihubungi Suara Keadilan.

Menurutnya lagi, perkara sebegini seharusnya tidak berlaku dan wajar dihentikan jika benar-benar portal itu bebas seperti mana slogannya 'free and independent' atau bebas dan berkecuali.

FMT katanya lagi, harus menghentikan tindakan mereka yang dianggap seperti ingin mewujudkan polemik dan ketidakstabilan dalam KEADILAN.

Sebelum itu, Timbalan Presiden Senator Dr Syed Husin Ali turut menyelar FMT yang disifatkan berlagak seperti lidah fitnah Umno, Utusan Malaysia walaupun ia dilihat sebagai pro-Pakatan Rakyat.

Dr Syed Husin di dalam twitternya berkata FMT 'sama naik dengan Utusan burukkan KEADILAN. Mereka percaya dengan apa yang mereka goreng tetapi yang masak lain.'

Fariz turut bersetuju dengan pandangan Dr Syed Husin sambil berkata FMT bertindak bukan sahaja seperti Utusan malah mirip sikap pemimpin Umno yang menyerang KEADILAN tanpa asas, fakta dan secara tidak bertanggungjawab. -pkr2010

Ulasan GB

Itulah perangai kita. Bila orang tegur dan kritik kita, terus diutusanmelayukan.

Sedangkan selama ini FMT salah satu media yang diburu dan dikerumuni oleh warga siber untuk mendapatkan maklumat terkini seperti Harakahdaily, Malaysiakini, The Malaysian Insider, Merdeka Review, Suara-Keadilan dan TV-Selangor.

Ada yang begitu fobia bila pimpinan dan parti dikritik. Kalau boleh mereka mahu semua media mesti mengampu, mesti hanya beri yang wangi-wangi di dalam beritanya terhadap PKR dan pimpinan.

Kita perlu rasional, kita perlu berfikiran terbuka, kita perlu berlapang dada dengan kritikan.

Tempoh untuk kita bersenang-lenang dengan laporan-laporan manis dan enak dari alam siber sudah masuk ke fasa peningkatannya dimana kini media siber akan menguji, sudah setakat manakah kemapanan dan keutuhan kita yang bernama Pakatan Rakyat ini untuk menggantikan Barisan Nasional di Putrajaya.

Jangan sentiasa mengharapkan yang muluk-muluk saja dari media alternatif tapi mengabaikan kritikan.

Jika demikian kita adalah "si manja" yang bacul dan pondan.

Sekarang ini seperti GB katakan tadi, fasa untuk kita berharapkan berita-berita indah dari media alternati sudah masuk ke fasa kedua. Iaitu media alternatif juga akan menjadi bahan penguji kekuatan kita. Anwar diserang, PKR dibelasah, pimpinan dipersoalkan. GB katakan memang sewajar begitu. Itu hukum kebenaran dan hukum alam. Tanah tidak sentiasa gembur untuk tanaman, ada masa ia keras berdentum tanpa siraman air dan baja. Langit pula tak sentiasa cerah, isteri sendiri pun tak boleh sentiasa ditiduri setiap malam! Ada masa lampu merah. Kena terima kebenaran itu. Lucah? Tak apa, biar GB kisahkan supaya bebal bertongkol di atas kepala itu dapat dimusnahkan.

Bukan sahaja FMT, lihat sahaja Malaysia Today milik Raja Petra Kamaruddin. Apa katanya? Mengapa kini beliau seperti meletakkan kata dua untuk PKR?

Malah Top 5 Blogs Penyokong Pakatan Rakyat, sekurang-kurangnya 3 daripadanya tidak berpihak kepada Azmin, yang dikatakan calon favorite Timbalan Presiden.

Apakah blog RPK dan Top 5 Blog PR ini juga akan disamakan dengan Utusan hanya semata-mata tidak menyajikan berita muluk-muluk lagi untuk pimpinan PKR?

Anwar dikritik kerana Anwar dilihat sudah berpihak. Petikan daripada kenyataan media Anwar:

"Perjalanan proses pemilihan telah memperlihatkan beberapa kenyataan yang amat pedas dan kasar diluahkan oleh sesetengah pemimpin yang dilihat tidak secucuk dengan kedudukan dalam parti yang mereka kejar."

Ia jelas ditujukan kepada Zaid, kerana Zaid telah mengkritik pedas Presiden PKR.

GB juga tidak suka perkataan itu lahir dari kenyataan media Penasihat PKR. Kritikan betapa pedas sekalipun tidak sehebat kritikan seorang sahabat yang menghunus pedang di leher Umar Al-Khattab yang berkata, "jika Umar silap aku akan betulkan Umar dengan pedang ini." Umar tidak mebantah sebaliknya Umar berkata, "Bersyukurlah Umar kerana ada umat Mohd yang akan membetulkan dirinya dengan mata pedang!"

Anwar perlu muhasabah. Sebagai pemimpin tertinggi, bukan sahaja PKR, tetapi Pakatan Rakyat sepatutnya menampakkan ciri-ciri keunggulan kepimpinan. Masa untuk pujian-pujian dengan ucapan retorik sudah belalu. Ini zaman digital, ini era global, ini masa rakyat menilai "mutu" kepimpinan, zaman "walk the talk" bukan "talk the talk" lagi.

Kalau dulu orang boleh dipegunkan dengan ucapan memukau dan aura hebat seorang orator, kini tidak lagi. Zaman ceramah-ceramah sudah berlalu. Kalau adapun, kemenangan dalam pilihanraya tak lagi didasarkan kepada bilangan yang ramai di dalam ceramah, tetapi berdasarkan kepada apa yang kita lakukan secara konkrit untuk rakyat. Pemenuhan janji kepada rakyat - seperti yang diutarakan oleh Raja Petra.

Bukan sahaja FMT, Raja Petra dan blogger-blogger yang berkecil hati dengan Anwar, malah beberapa pimpinan PR juga merasakan demikian. Anwar dilihat telah mengenepikan peranan orang yang banyak membantunya.

Presiden PAS TG Haji Abdul Hadi Awang, semasa perasmian Ijtima Tarbawi baru-baru ini melahirkan isi hatinya secara ikhlas yang beliau dan PAS dipinggirkan di dalam Pakatan Rakyat. Walhal PAS dengan petugasnya paling banyak membantu kemenangan calon-calon Pakatan Rakyat, tak kira apa parti dan bangsa sekalipun.

"Presiden PAS menegaskan bahawa PAS adalah parti yang memimpin, bukannya dipinggirkan apabila mencapai kemenangan.

Beliau tidak mahu kesilapan yang lepas berulang di mana kumpulan Islam dipinggirkan apabila negara mencapai kemerdekaan.

Katanya, sewaktu negara dijajah, kumpulan Islam di depan menentang penjajah tetapi setelah merdeka, mereka dipinggirkan.

“Kita parti yang memimpin, menjadi teras, bukan dipinggirkan mudah-mudah oleh orang,” tegasnya." - laporan harakahdaily.

Begitu rajuknya Ustaz Abd Hadi. Bagi yang membaca dengan matahati jelas ia satu penempelakan terhadap Anwar yang menjadi pemimpin tertinggi PR. Maka dengan sebab itu, agak GB, kerana merasa terpinggirlah, timbul gagasan bukan-bukan seperti UG dan sebagainya dari Presiden PAS itu yang kemudian menjadi tugas GB dan sekalian blogger PAS pula untuk mempertahankan PR sepertimana kewujudannya pada awal pembentukan.

Tetapi kritikan Presiden PAS itu, bagi GB ada kewajarannya dan Anwar perlu sedar diri.

Dan mesej yang dibawakan oleh Zaid hampir menyerupai kritikan-kritikan tadi. Kalau terus nak pinggirkan sesiapa pun kerana PKR rasa dah cukup kuat, teruskanlah. Kalau PKR nak boikot media alternatif termasuk blog GB ni sekali silakan.

Blogger akan juga meneruskan kerja mereka seperti biasa. Tiada siapa juga boleh tentukan halatuju dan corak pemberitaan FMT itu. Maaysiakini dan Malaysian Insider pun satu hari akan mengikuti jejaklangkah FMT itu. Dah sememang begitu keadaan Hukum Kebenaran. Malah Utusan pun, yang bersalah bukan wartawannya tetapi adalah sang editornya.

Mari kita baca luahan ini:

"Hata Wahari seterusnya mendedahkan bagaimana editor yang menentukan berita muka depan, menonjolkan (highlight) fakta-fakta yang terpilih, dan apa yang ditonjolkan itu bukan ditentukan oleh wartawan. Beliau memberi contoh, "Misalnya dalam kes liwat Dato Seri Anwar Ibrahim, ada fakta tentang apa yang dikatakan oleh Saiful, bukan wartawan yang tulis (maksud: bukan ditentukan wartawan). Itu semua fakta-fakta yang di-highlight (ditonjolkan) oleh editor. Editor yang berkuasa membuat penetapan bagi tajuk di muka depan."- MR

Sewaktu zaman reformasi meletus pada 1998 dahulu yang banyak membantu GB mendapatkan berita-berita terkini adalah wartawan-wartawan akhbar pencacai inilah. Masa itu tiada harakahdaily, tiada malaysiakini, malaysian insider, FMT malah blog pun tiada.

GB masih ingat seorang wartawan Utusan menghubungi GB, "ni berita baru, siarkan dalam Laman Reformasi, kami tak boleh siarkan di Utusan".

Dan Laman Reformasi menjadi media paling top masa itu di alam siber ini, dengan catatan sejuta pembaca setiap malam. Untuk membantu Anwar. Untuk menggerakkan massa. Untuk reformasi. Untuk kebenaran dan keadilan (slogan yang GB pinjam daripada motto ABIM dijadikan motto Laman reformasi ketika itu). Setelah berbulan2 menyendiri mengendalikan LR, GB jatuh sakit akhirnya, dan tiada seorang pun datang menziarahi GB kecuali ibu yang sudah amat tua menjadi peneman waktu itu.

Ini bukan hal mengungkit tetapi kisah sebenar untuk batang tubuh orang-orang yang sekarang ini ada yang dah mendakwa hanya dirinya reformis sebenar dengan menafikan peranan orang lain.

Bahawa Allah tidak pernah tidur. Dan GB bersyukur kerana sentiasa berada dibawah lindunganNya selama ini walaupun tiada seorang di atas dunia ini memperdulikan GB. Dan GB akan tetap teruskan perjuangan suci menegakkan kebenaran dan keadilan ini sekalipun terpaksa menegur malah "memancung" para penghalangnya.

No comments:

Powered By Blogger

Anda adalah pelawat yang ke.....

;

King Of The KOPS

King Of The KOPS

About Me

Hanyalah Manusia Biasa.............

Blog Archive

My Blog List

Selamat Datang - Trafik Tak Jem Hari Ini !!

Followers

Islamic Hijri Calendar