Tuesday, August 24, 2010

Polifiksyen: Wujudkah manusia di bumi? (1)

Posted by Admin on 8/24/10 • Categorized as Esei,msk

Pada tahun 1957, Malaysia mencapai kemerdekaan dari British. Bapa aku menyambut kemerdekaan dengan mengahwini emak aku pada September 1957. Yang aku tau, itu perkahwinannya yang ke tiga. Yang aku tak tau…tak tau la.

Emak bapa aku berkahwin dengan dinikahkan oleh atuk aku. Tak ada kursus sebelum berkahwin…tak ada sijil nikah. Nasib baik depa buat kerja tu tahun 1957. Kalau depa buat pada tahun 2007, dah gerenti perkahwinan itu dianggap tak sah. Dan aku pulak sudah gerenti di cop sebagai anak haram. Tahun 1957…aku anak halal. Kalau tahun 2007, aku anak haram.

Ketika emak bapak aku tengah seronok menyambut Ramadan1958 dengan meriam buluh, komunis Soviet Russia dan kapitalis Amerika sudah memulakan penjelajahan ke angkasa lepas.

Amerika melancarkan kapal angkasa pertama siri Pioneer keangkasa lepas pada Ogos 1958 manakala Soviet pula melancarkan siri Luna pada September 1958. Orang Melayu Malaysia masih lagi seronok dengan Makyong dan Menora.

Oktober 1959, aku mula melihat dunia. Mak bapak aku punya seronok dan depa mula memikirkan macam mana nak cari duit untuk majlis naik buai, cukur rambut dan suap kuih wajik. Nak mintak tolong kat sapa? Depa mintak tolong kat keramat, jin dan penunggu.

Sebelum nak tebas hutan untuk buat ladang padi huma, depa panggil Tok Halaq untuk buat upacara. Pasang kemenyan dalam tempurung, buat sangkak buluh dan pacak empat penjuru. Jamu pulut kuning supaya penunggu hutan tak datang kacau.

Dalam masa yang sama, kapal angkasa Soviet Luna 2 sudah mula menghantar gambar-gambar dari permukaan bulan.

Pada tahun 1961, aku dah boleh mandi disungai. Umur dua tahun dah tak takut kat sungai. Kalau sekarang…umur dua tahun masih kencing dalam pampers.

Dalam masa yang sama, Yuri Gagarin sudah berjaya memasuki angkasa lepas dan mengelilingi orbit bumi. Manakala umat Melayu di Malaysia masih lagi memikirkan kat mana nak mendulang bijih timah…kat mana nak tanam getah.

Pada tahun 1964, kapal angkasa Amerika, Ranger 7 sudah mula menghantar beribu keping gambar-gambar permukaan bulan balik kebumi. Manakala kapal angkasa Soviet, Luna 9-13 juga berjaya mendaratkan kapal angkasa tanpa manusianya dibulan.

Tahun itu, aku dah boleh melastik burung. Dah boleh main Police Sentry. Dah boleh buat senapang dari batang bertam. Anak-anak aku sekarang, umur 17 tahun pun tak kenal pokok bertam. Suruh ambil batang bertam, dia ambil batang bemban,

Tahun 1966, aku masuk darjah satu. Berjalan kaki kesekolah ikut jalan estet. Semua budak-budak tunggu kat rumah Tok Sidang…siap dengan jamong. Sejam setengah baru sampai kesekolah berjalan kaki. Anak aku sekarang, nak kesekolah yang tak sampai sepuluh minit pun nak dihantar dengan kereta.

Tahun 1969, kami takut nak kesekolah. Sebab Melayu bergaduh dengan Cina.

Nak kesekolah, kena jalan ikut estet dan estet tu pulak dimiliki oleh Cina. Shum Yip Leong Estet dan semua penoreh getah kat estet tu semuanya Cina. Kalau sebelum ini, kami tumpang landrover Cina, boleh minum air lepas balik sekolah kat rumah Cina…tapi selepas May 1969, semua orang takut kat Cina.

Tapi, bukan Melayu saja yang takut kat Cina. Rupanya Cina lagi takut kat Melayu!!

Orang Melayu memperkuatkan diri mereka dengan silat dan ilmu batin untuk melawan Cina. Bapak aku pun ikut sama…mandi minyak untuk jadi kebal. Malam-malam ratib..”La ila ha ilallah”. Dari gear satu sampai gear empat. Bila Cina dengar kami beratib, depa pun takut. Depa ingat orang Melayu beratib panggil hantu. “Lia lai la..lia lai la” (dia mai dah..dia mai dah.)

Bila orang Cina dengar orang Melayu beratib, depa cabut. Sebab depa ingat hantu dah mai.

Ketika orang-orang Cina dan Melayu bergaduh di Malaysia, kapal angkasa Amerika Surveyor sudah mula membawa kembali sampel-sampel habuk dan pasir di bulan.

Pada May 1969, ketika orang Melayu dan Cina bergaduh, Apollo 10 sudah mendapat maklumat yang terperinci untuk membolehkan manusia memijak kaki dibulan.

Dan pada July 1969, ketika Tun Razak dan Tunku Abdul Rahman bergaduh tentang siapa yang bersalah dalam Tragedi 13 May, angkasawan Amerika, Neil Armstrong dan Adwin Aldrin memijakkan kaki di bulan. 500 juta rakyat diseluruh dunia melihat sejarah tersebut melalui TV. Tetapi di Malaysia, kita bertelingkah tentang siapa salah siapa betul.

Bukan itu saja, tetapi dalam diam, Soviet dan Amerika sedang berlumba untuk menjadi jaguh untuk menentukan siapa yang sampai dulu ke planet Marikh. Tapi di Malaysia, kita berdebat dan bergaduh, sama ada pencapaian Amerika ke bulan itu betul atau pembohongan.

Soviet mula melancarkan program jelajah Marikh pada tahun 1960 dengan melancarkan Marsnik1. Tetapi gagal berlepas dari pusat pelancaran. Manakala Amerika melancarkan Mariner untuk ke Marikh.

Pada May 1971, aku masuk sekolah menengah. Itulah kali pertama dalam kelas aku ada Melayu, Cina, India, Punjabi dan Orang Asli. Tak gaduh pun!! aku baru nak kenal bahasa depa. Aku baru nak kenal budaya depa.

Tapi dalam masa yang sama, kapal angkasa Soviet Mars 2 telah berjaya sampai di planet Marikh tetapi berkecai semasa mendarat. Walaubagaimanapun, kapalangkasa kedua yang mengekori..Mars 3 berjaya sampai di planet Marikh pada December 1971 dan berjaya menghantar sedikit maklumat kebumi selama 15 saat sebelum terputus.

Dan menjelang tahun 1976, kapal angkasa Viking dan Phobos sudah berjaya mengelilingi orbit Marikh. Manakala orang Melayu di Malaysia masih lagi mencari keramat dan bomoh untuk mencari air penerang hati.

Pada 11 September 1997, kapal angkasa Mars Pathfinder berjaya menjejak permukaan Marikh dan mengambil gambar dan sample debu dan pasir di permukaan Marikh. Tapi di Malaysia, orang Melayu bergaduh pasai Anwar dan Mahathir.

Sekarang ini, terdapat 8 kapal angkasa yang sedang berlabuh di planet Marikh. Mars Odyssey,Mars Express,MER-A Spirit, MER-B Opportunity, Rossetta, Mars Reconnaissance Orbitter, Phoenix dan Dawn. Dan semua kapal angkasa ini menyampaikan pelbagai maklumat tentang Marikh ke bumi.

Bukan setakat kapal angkasa Amerika. China sedang membangunkan Yinghuo-1 untuk ke Marikh pada tahun 2012. Kanada sedang membangunkan Northern Light untuk mengambil sampel-sampel dari Marikh dan akan dilancarkan pada tahun 2012.

Malah India juga sedang membangunkan Mars Mission yang akan dilancarkan sekitar 2013-2014.

Manakala di Malaysia, orang Melayu masih bergaduh sama ada benar atau tidak nama Lim Guan Eng disebut dalam khutbah jumaat atau tidak. Orang Melayu masih bercakap supaya orang Cina balik ke China. India balik ke India.

Kalaulah semua Cina balik ke China dan India balik ke India…apa akan terjadi pada orang Melayu? mungkin kita berperang sesama sendiri dengan meriam buluh…sebab Cina dan India sudah tidak ada untuk dijadikan musuh.

Orang Melayu masih buat kerja gila. Perkasa buat kerja gila. Umno buat kerja gila.

Tapi masih ramai dari kita yang masih lagi tergila-gila mengikut rentak Perkasa dan Umno…yang akhirnya kita sama-sama jadi gila.Biarkanlah orang-orang gila buat kerja gila.

Cuba perhatikan projek ARES yang akan dilancarkan oleh Amerika pada tahun 2016. Projek ini adalah projek untuk mengesan sama ada wujud kehidupan di Marikh atau tidak.

Apakah Amerika membuat kerja gila? Aku rasa tidak. Sebab satu rahsia telah berjaya dirungkaikan melalui Signs and Mattermatics.

bersambung………

No comments:

Powered By Blogger

Anda adalah pelawat yang ke.....

;

King Of The KOPS

King Of The KOPS

About Me

Hanyalah Manusia Biasa.............

My Blog List

Selamat Datang - Trafik Tak Jem Hari Ini !!

Followers

Islamic Hijri Calendar