Tuesday, August 24, 2010

Polifiksyen: Wujudkah manusia di bumi? (1)

Posted by Admin on 8/24/10 • Categorized as Esei,msk

Pada tahun 1957, Malaysia mencapai kemerdekaan dari British. Bapa aku menyambut kemerdekaan dengan mengahwini emak aku pada September 1957. Yang aku tau, itu perkahwinannya yang ke tiga. Yang aku tak tau…tak tau la.

Emak bapa aku berkahwin dengan dinikahkan oleh atuk aku. Tak ada kursus sebelum berkahwin…tak ada sijil nikah. Nasib baik depa buat kerja tu tahun 1957. Kalau depa buat pada tahun 2007, dah gerenti perkahwinan itu dianggap tak sah. Dan aku pulak sudah gerenti di cop sebagai anak haram. Tahun 1957…aku anak halal. Kalau tahun 2007, aku anak haram.

Ketika emak bapak aku tengah seronok menyambut Ramadan1958 dengan meriam buluh, komunis Soviet Russia dan kapitalis Amerika sudah memulakan penjelajahan ke angkasa lepas.

Amerika melancarkan kapal angkasa pertama siri Pioneer keangkasa lepas pada Ogos 1958 manakala Soviet pula melancarkan siri Luna pada September 1958. Orang Melayu Malaysia masih lagi seronok dengan Makyong dan Menora.

Oktober 1959, aku mula melihat dunia. Mak bapak aku punya seronok dan depa mula memikirkan macam mana nak cari duit untuk majlis naik buai, cukur rambut dan suap kuih wajik. Nak mintak tolong kat sapa? Depa mintak tolong kat keramat, jin dan penunggu.

Sebelum nak tebas hutan untuk buat ladang padi huma, depa panggil Tok Halaq untuk buat upacara. Pasang kemenyan dalam tempurung, buat sangkak buluh dan pacak empat penjuru. Jamu pulut kuning supaya penunggu hutan tak datang kacau.

Dalam masa yang sama, kapal angkasa Soviet Luna 2 sudah mula menghantar gambar-gambar dari permukaan bulan.

Pada tahun 1961, aku dah boleh mandi disungai. Umur dua tahun dah tak takut kat sungai. Kalau sekarang…umur dua tahun masih kencing dalam pampers.

Dalam masa yang sama, Yuri Gagarin sudah berjaya memasuki angkasa lepas dan mengelilingi orbit bumi. Manakala umat Melayu di Malaysia masih lagi memikirkan kat mana nak mendulang bijih timah…kat mana nak tanam getah.

Pada tahun 1964, kapal angkasa Amerika, Ranger 7 sudah mula menghantar beribu keping gambar-gambar permukaan bulan balik kebumi. Manakala kapal angkasa Soviet, Luna 9-13 juga berjaya mendaratkan kapal angkasa tanpa manusianya dibulan.

Tahun itu, aku dah boleh melastik burung. Dah boleh main Police Sentry. Dah boleh buat senapang dari batang bertam. Anak-anak aku sekarang, umur 17 tahun pun tak kenal pokok bertam. Suruh ambil batang bertam, dia ambil batang bemban,

Tahun 1966, aku masuk darjah satu. Berjalan kaki kesekolah ikut jalan estet. Semua budak-budak tunggu kat rumah Tok Sidang…siap dengan jamong. Sejam setengah baru sampai kesekolah berjalan kaki. Anak aku sekarang, nak kesekolah yang tak sampai sepuluh minit pun nak dihantar dengan kereta.

Tahun 1969, kami takut nak kesekolah. Sebab Melayu bergaduh dengan Cina.

Nak kesekolah, kena jalan ikut estet dan estet tu pulak dimiliki oleh Cina. Shum Yip Leong Estet dan semua penoreh getah kat estet tu semuanya Cina. Kalau sebelum ini, kami tumpang landrover Cina, boleh minum air lepas balik sekolah kat rumah Cina…tapi selepas May 1969, semua orang takut kat Cina.

Tapi, bukan Melayu saja yang takut kat Cina. Rupanya Cina lagi takut kat Melayu!!

Orang Melayu memperkuatkan diri mereka dengan silat dan ilmu batin untuk melawan Cina. Bapak aku pun ikut sama…mandi minyak untuk jadi kebal. Malam-malam ratib..”La ila ha ilallah”. Dari gear satu sampai gear empat. Bila Cina dengar kami beratib, depa pun takut. Depa ingat orang Melayu beratib panggil hantu. “Lia lai la..lia lai la” (dia mai dah..dia mai dah.)

Bila orang Cina dengar orang Melayu beratib, depa cabut. Sebab depa ingat hantu dah mai.

Ketika orang-orang Cina dan Melayu bergaduh di Malaysia, kapal angkasa Amerika Surveyor sudah mula membawa kembali sampel-sampel habuk dan pasir di bulan.

Pada May 1969, ketika orang Melayu dan Cina bergaduh, Apollo 10 sudah mendapat maklumat yang terperinci untuk membolehkan manusia memijak kaki dibulan.

Dan pada July 1969, ketika Tun Razak dan Tunku Abdul Rahman bergaduh tentang siapa yang bersalah dalam Tragedi 13 May, angkasawan Amerika, Neil Armstrong dan Adwin Aldrin memijakkan kaki di bulan. 500 juta rakyat diseluruh dunia melihat sejarah tersebut melalui TV. Tetapi di Malaysia, kita bertelingkah tentang siapa salah siapa betul.

Bukan itu saja, tetapi dalam diam, Soviet dan Amerika sedang berlumba untuk menjadi jaguh untuk menentukan siapa yang sampai dulu ke planet Marikh. Tapi di Malaysia, kita berdebat dan bergaduh, sama ada pencapaian Amerika ke bulan itu betul atau pembohongan.

Soviet mula melancarkan program jelajah Marikh pada tahun 1960 dengan melancarkan Marsnik1. Tetapi gagal berlepas dari pusat pelancaran. Manakala Amerika melancarkan Mariner untuk ke Marikh.

Pada May 1971, aku masuk sekolah menengah. Itulah kali pertama dalam kelas aku ada Melayu, Cina, India, Punjabi dan Orang Asli. Tak gaduh pun!! aku baru nak kenal bahasa depa. Aku baru nak kenal budaya depa.

Tapi dalam masa yang sama, kapal angkasa Soviet Mars 2 telah berjaya sampai di planet Marikh tetapi berkecai semasa mendarat. Walaubagaimanapun, kapalangkasa kedua yang mengekori..Mars 3 berjaya sampai di planet Marikh pada December 1971 dan berjaya menghantar sedikit maklumat kebumi selama 15 saat sebelum terputus.

Dan menjelang tahun 1976, kapal angkasa Viking dan Phobos sudah berjaya mengelilingi orbit Marikh. Manakala orang Melayu di Malaysia masih lagi mencari keramat dan bomoh untuk mencari air penerang hati.

Pada 11 September 1997, kapal angkasa Mars Pathfinder berjaya menjejak permukaan Marikh dan mengambil gambar dan sample debu dan pasir di permukaan Marikh. Tapi di Malaysia, orang Melayu bergaduh pasai Anwar dan Mahathir.

Sekarang ini, terdapat 8 kapal angkasa yang sedang berlabuh di planet Marikh. Mars Odyssey,Mars Express,MER-A Spirit, MER-B Opportunity, Rossetta, Mars Reconnaissance Orbitter, Phoenix dan Dawn. Dan semua kapal angkasa ini menyampaikan pelbagai maklumat tentang Marikh ke bumi.

Bukan setakat kapal angkasa Amerika. China sedang membangunkan Yinghuo-1 untuk ke Marikh pada tahun 2012. Kanada sedang membangunkan Northern Light untuk mengambil sampel-sampel dari Marikh dan akan dilancarkan pada tahun 2012.

Malah India juga sedang membangunkan Mars Mission yang akan dilancarkan sekitar 2013-2014.

Manakala di Malaysia, orang Melayu masih bergaduh sama ada benar atau tidak nama Lim Guan Eng disebut dalam khutbah jumaat atau tidak. Orang Melayu masih bercakap supaya orang Cina balik ke China. India balik ke India.

Kalaulah semua Cina balik ke China dan India balik ke India…apa akan terjadi pada orang Melayu? mungkin kita berperang sesama sendiri dengan meriam buluh…sebab Cina dan India sudah tidak ada untuk dijadikan musuh.

Orang Melayu masih buat kerja gila. Perkasa buat kerja gila. Umno buat kerja gila.

Tapi masih ramai dari kita yang masih lagi tergila-gila mengikut rentak Perkasa dan Umno…yang akhirnya kita sama-sama jadi gila.Biarkanlah orang-orang gila buat kerja gila.

Cuba perhatikan projek ARES yang akan dilancarkan oleh Amerika pada tahun 2016. Projek ini adalah projek untuk mengesan sama ada wujud kehidupan di Marikh atau tidak.

Apakah Amerika membuat kerja gila? Aku rasa tidak. Sebab satu rahsia telah berjaya dirungkaikan melalui Signs and Mattermatics.

bersambung………

Terjermahan Hikmat Ramadhan Dalam Kehidupan Seharian

Ditulis oleh MInda Editor

PUASA menurut syariat adalah menahan diri daripada perkara yang membatalkannya bermula dari terbit fajar hingga terbenam matahari, dengan disertai dengan niat kepada Allah. Semua perintah Allah yang disyariatkan pastinya mempunyai faedah dan manfaatnya, begitu juga dengan segala laranganNya yang pasti ada kemudaratannya.

Dari segi kesihatan, puasa dapat menghindarkan penyakit. Sepertimana kita tahu, dewasa ini manusia meninggal dunia disebabkan oleh pemakanan. Hadis Nabi juga menyebut bahawa ‘perut adalah rumah penyakit dan puasa adalah raja segala ubat’.

Seharian kita berpuasa telah mendidik perut kita hanya menerima makanan pada masa yang ditetapkan sahaja. Jika hari-hari biasa, merata tempat kita manusia menikmati hidangan makanan tanpa mengira masa selagi mata belum terpejam. Jadi perut pun bekerja tanpa rehat.

Para penyelidik ilmu perubatan juga mengakui bahawa puasa dapat membuang toksin dari badan dan secara tidak langsung meningkatkan sistem imunisasi tubuh dalam melawan penyakit.

Dalam ilmu biologi, ketika perut dan usus melakukan proses pencernaan, otak tidak dapat berfungsi dengan baik. Ini kerana tenaga dan pengaliran darah tertumpu kepada kerja-kerja penghadaman makanan. Sebab itulah apabila kita makan sampai terlalu kenyang, otak kita akan menjadi lemah untuk berfikir dan tubuh pun akan rasa mengantuk dan malas.

Ketika berpuasa, tenaga dan pengaliran darah tertumpu kepada otak. Ini menjadikan otak dapat bekerja dengan lancar dan memberi peluang kepada diri kita untuk melaksanakan aktiviti-aktiviti yang menggunakan mental dan fizikal yang berkesan.

Berpuasa juga mengajar mereka yang mengerjakannya mengenal erti kesusahan dan keperitan manusia lain yang mengalami kekurangan makanan. Jika sebelum ini tidak pernah terlintas di fikiran akan penderitaan mereka, jadi melalui puasa kita banyak bersabar dan banyak mendekatkan diri kepada Allah bagi memanjatkan kesyukuran.

Bulan Ramadhan adalah bulan yang suci antara semua bulan. Solat Tarawih yang ditunaikan sepanjang Ramadhan banyak hikmahnya. Setiap malam yang ditunaikan mempunyai faedahnya tersendiri yang ditetapkan oleh Allah.

Lailatul Qadar yang hanya terdapat dalam bulan Ramadhan merupakan malam yang sejahtera dan selamat dari segala kejahatan dari awal malam hinggalah terbit fajar. Pada malam tersebut Allah melipatkan rahmatnya kepada seluruh mukmin yang masih hidup dan juga yang telah mati. Ini menandakan betapa pemurahnya Allah kepada hamba-hambaNya.

Dengan segenap hikmah yang terkandung di dalam ibadah puasa marilah kita kita mengumpul segala kelebihannya itu untuk diterjemahkan dalam kehidupan seharian.

Jadikanlah ‘Madrasah Ramadhan’ sebaik-baik tempat latihan agar kita dapat menjalankan kehidupan berdasarkan kesederahanaan, kesabaran, keinsafan perihal wujudnya sejuzuk manusia di dunia ini yang perlu dibantu. Juga pentingnya ketahanan dan pembinaan mental dan fizikal untuk mencapai apa yang dicita-citakan.

Dari Blog : Kedahlenie

Derita Seorang Pemilik Kereta Lama

Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang; selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.

Renungan
Daripada Salman Al-Farisi r.a., dia berkata, Rasulullah s.a.w. bersabda kepada kami pada akhir bulan Syaaban, baginda bersabda yang maksudnya: "Wahai sekalian manusia, akan datang kepada kamu bulan yang di situ terdapat malam al-Qadar, yang lebih baik daripada 1,000 bulan. Allah telah mewajibkan puasanya dan mensunnahkan ibadah malamnya. Siapa yang beribadah pada Lailatulqadar dengan satu macam daripada kebaikan, seperti dia melakukan ibadah wajib pada bulan lainnya.

"Dan siapa yang melakukan ibadah wajib, dia seperti orang yang melakukan 70 ibadah wajib pada bulan lain. Dia itu bulan sabar. Pahala sabar adalah syurga. Ia bulan di mana rezeki orang mukmin ditambah. Siapa yang memberi makan untuk berbuka puasa, dia mendapat pahala memerdekakan budak dan ampunan bagi dosanya."

"Kami bertanya, "wahai Rasulullah tidak setiap kami menemui sesuatu untuk berbuka." Baginda bersabda: "Allah memberi pahala kepada orang yang memberi makanan kepada orang berpuasa seteguk susu atau air atau sebiji kurma. Barangsiapa memberi makan sehingga kenyang orang yang berpuasa, dia akan mendapat keampunan dosanya dan Tuhan akan memberinya daripada telagaku seteguk sehingga tak akan haus selamanya. Dan untuknya pahala seperti orang yang berpuasa tanpa kurang sedikit pun. Itulah bulan yang awalnya penuh rahmat, tengahnya penuh dengan keampunan dan akhirnya pembebasan daripada api nereka."
***

CUKAI jalan (road tax) kereta Proton Iswara saya yang sudah berusia 12 tahun mati baru-baru ini. Untuk memperbaharui cukai jalan, tentulah saya perlu memperbaharui insuransnya. Seperti tahun lalu, saya ke pejabat pos bagi membereskan urusan itu.

Selepas tiba giliran, saya menyerahkan sijil pendaftaran kenderaan dan salinan insurans tahun sebelumnya. Geli hati juga saya melihat kerani pos terkial-kial mengira jumlah wang insurans yang katanya telah meningkat mendadak tahun ini. Kira punya kira akhirnya saya pula hampir tersedak apabila dia memberitahu saya supaya membayar RM460.

Mana tidak terkejut besar saya mendengar jumlah itu. Baru tahun lalu saya hanya membayar RM91 untuk insurans, tahun ini kena bayar lima kali ganda. Disebabkan saya membawa sejumlah wang yang hanya cukup-cukup seperti tahun lalu, saya tidak terus membayarnya sebaliknya meminta kerani itu menyemaknya semula.

Kerani itu akur tetapi kemudian berkata, “memang betul, pak aji kena bayar RM460.00. Tapi kalau pak aji tak mahu, pak aji boleh ke syarikat insurans di seberang jalan sana, mungkin pak aji boleh dapatkan yang lebih murah di sana!”

Apa lagi, saya pun bergegas ke pejabat syarikat insurans itu. Kira punya kira akhirnya, kerani si gadis manis itu memberitahu saya jumlahnya RM405.06. Hai, tak jauh beza dengan apa ditawarkan di pejabat pos tadi. Apabila si kerani bertanya, jadi atau tidak jadi, terpaksalah saya mengaku tidak membawa duit sebanyak itu tetapi memintanya menyiapkan segera insurans berkenaan kerana saya akan ke mesin juruwang automatik.

Apabila sijil insurans siap, saya kembali ke pejabat pos untuk mendapatkan ‘road tax’. Kadar cukai jalan bagi kenderaan setaraf Proton Iswara adalah RM70 setahun sedangkan beberapa tahun lalu adalah sebanyak RM179 setahun. Pejabat pos pula mengenakan caj RM2 bagi perkhidmatannya.

Sekalipun kadar cukai jalan sudah dikurangkan lebih daripada separuh, hakikatnya harga insurans melambung tinggi menyebabkan pemilik kereta lama seperti saya menderita juga untuk membayar ‘road tax’.

Jika pemilik kereta lama yang berusia 12 tahun seperti saya merana ketika hendak membayar ‘road tax’, tidak dapat saya bayangkan derita pemilik kenderaan berusia lebih 20 tahun yang saya dengar terpaksa melalui karenah lebih teruk.

Dengar khabar, apabila mahu memperbaharui ‘road tax’, pemilik kenderaan berkenaan terpaksa melalui prosedur yang merumitkan melalui Malaysian Motor Insurance Pool (MMIP) dan Uni Asia untuk memperbaharui insurans kenderaan, selain peningkatan kadar bayaran yang didakwa sehingga 200 peratus berbanding sebelumnya.

Sebagai menyatakan rasa prihatin kepada pemilik kenderaan lama ini, PAS melalui Naib Presidennya, Salahuddin Ayub melancarkan satu gerakan rakyat bagi membela nasib mereka yang dinamakan Gerakan Bela Rakyat (Bela).

Salahuddin berkata pihaknya akan mengadakan persidangan meja bulat seterusnya secara berkumpulan dan hasil perbincangan akan dibawa ke persidangan Parlimen untuk mendapat pertimbangan kerajaan.

Memang benar, prosedur baru ini bukan saja menyusahkan rakyat kebanyakan terutama golongan bawahan tetapi menjejaskan kedudukan kewangan mereka dengan teruk sekali. Jika saya yang terpaksa membayar insurans yang kenaikannya sebanyak 500 peratus begitu tertekan, apa agak nasib Ramli, si tukang gunting yang memiliki sebuah Opel Kadett model 1978 dan Din, bekas askar yang memiliki Ford Escort 1974? Harap-harap mereka berjaya mendapatkan ‘road tax’ walaupun terpaksa melalui onak dan duri sedangkan hari-hari telinga mereka disumbat slogan dari corong radio dan televisyen, ‘1Malaysia, Rakyat didahulukan, Pencapaian diutamakan’.

Selain soal insurans, satu lagi hal yang membebankan pengguna kenderaan adalah saman ekor. Seorang sahabat memberitahu dia mempunyai tiga saman ekor, menyebabkan usahanya untuk memperbaharui cukai jalan tertangguh. Hari pertama dia ke ibu pejabat polis Jalan Bandar, pembayaran tidak dapat dibuat kerana komputer ‘offline’ manakala hari kedua orang terlalu ramai. Maka pada hari ketiga barulah dia dapat menyelesaikan masalahnya itu.

“Masalahnya sekarang,” katanya, “polis tidak melayan sebarang rayuan, setiap saman kena RM300, jadi terbanglah duit saya sebanyak RM900. Kemudian bayar insurans dan ‘road tax’ yang jumlahnya ribuan ringgit. Saya benar-benar pokai sekarang ini, tapi apa nak buat, tidak bayar saman tidak boleh buat ‘road tax’. Tak ada ‘road tax’, kereta tak boleh bergerak, lagi payah saya dibuatnya.”

Selepas dibantah oleh orang ramai, barulah kerajaan bertindak menangguhkan saman ekor itu yang menurut sesetengah pakar perundangan tidak menepati kehendak perundangan, misalnya seseorang itu tidak bersalah sehingga dia dibuktikan bersalah oleh mahkmah termasuklah ketika berada di jalan raya.

[Sumber]
Blog Kerabubersuara

Wednesday, August 18, 2010

Utk Peringatan Diri Sendiri dan Pelawat

PESAN ROH KAPADA MANUSIA
by Zal Yaacob on Wednesday, August 18, 2010 at 4:05pm

Salam Ramadhan buat semua. Ingin saya berkongsi tulisan/fakta ini. Walaupun agak panjang, ambillah masa untuk membaca hingga ke akhirnya untuk manfaat kita bersama. Selamat berpuasa.

Assalamualaikum.



PESAN ROH KAPADA MANUSIA



Apabila roh keluar dari jasad,ia akan berkata-kata dan seluruh isi alam sama ada di langit atau bumi

akan mendengarnya kecuali jin dan manusia. Apabila mayat dimandikan, lalu roh berkata : 'Wahai orang yang memandikan, aku minta kepadamu kerana Allah untuk melepaskan pakaianku dengan perlahan-lahan sebab pada saat ini aku beristirahat daripada seretan malaikat maut'.



Selepas itu, mayat pula bersuara sambil merayu : 'Wahai orang yang memandikan, janganlah engkau menuangkan airmu dalam keadaan panas. Begitu juga jangan menuangnya dengan air yang dingin kerana tubuhku terbakar apabila terlepasnya rohdari tubuh'.

Apabila dimandikan, roh sekali lagi merayu :'Demi Allah, wahai orang yang memandikan jangan engkau menggosok aku dengan kuat sebab tubuhku luka-luka dengan keluarnya roh' . Setelah dimandi dan dikafankan, telapak kaki mayat diikat dan ia pun memanggil-manggil dan berpesan lagi supaya jangan diikat terlalu kuat serta mengafani kepalanya kerana ingin melihat wajahnya sendiri, anak-anak, isteri atau suami buat kali terakhir kerana tidak dapat melihat lagi sampai Hari Kiamat.



Sebaik keluar dari rumah lalu ia berpesan : 'Demi Allah, wahai jemaahku,aku telah meniggalkan isteriku menjadi Balu. Maka janganlah kamu menyakitinya.Anak-anakku telah menjadi yatim dan janganlah kalian menyakiti mereka. Sesungguhnya pada hari itu aku telah keluar dari rumahku dan aku tidak akan dapat kembali kepada mereka buat selama-lamanya' . Sesudah mayat diletakkan pada pengusung, sekali lagi diserunya kepada jemaah supaya jangan mempercepatkan mayatnya ke kubur selagi belum mendengar suara anak-anakdan sanak saudara buat kali terakhir.



Sesudah dibawa dan melangkah sebanyak tiga langkah dari rumah, roh pula berpesan: ' Wahai Kekasihku, wahai saudaraku dan wahai anak-anakku, jangan kamu diperdaya dunia sebagaimana ia memperdayakan aku dan janganlah kamu lalai ketika ini sebagaimana ia melalaikan aku'. 'Sesungguhnya aku tinggalkan apa yang aku telah kumpulkan untuk warisku dan sedikitpun mereka tidak mahu menanggung kesalahanku' . 'Adapun didunia, Allah menghisab aku, padahal kamu berasa senang dengan keduniaan. Dan mereka juga tidak mahu mendoakan aku'.



Ada satu riwayat drp Abi Qalabah mengenai mimpi beliau yang melihat kubur pecah. Lalu mayat-mayat itu keluar dari duduk di tepi kubur masing-masing. Bagaimanapun tidak seorang pun ada tanda-tanda memperolehi nur di muka mereka. Dalam mimpi itu, Abi Qalabah dapat melihat jirannya juga dalam keadaan yang sama. Lalu dia bertanya kepada mayat jirannya mengenai ketiadaan nur itu.

Maka mayat itu menjawab: 'Sesungguhnya bagi mereka yang memperolehi nur adalah kerana petunjuk drpd anak-anak dan teman-teman. Sebaliknya aku mempunyai anak-anak yang tidak soleh dan tidak pernah mendoakan aku'.

Setelah mendengar jawapan mayat itu, Abi Qalabah pun terjaga. Pada malam itu juga dia memanggil anak jirannya dan menceritakan apa yang dilihatnya dalam mimpi mengenai bapa mereka. Mendengar keadaan itu, anak-anak jiran itu berjanji di hadapan Abi Qalabah akan mendoa dan bersedekah untuk bapanya.



Seterusnya tidak lama selepas itu, Abi Qalabah sekali lagi bermimpi melihat jirannya. Bagaimanapun kali ini jirannya sudah ada nur dimukanya dan kelihatan lebih terang daripada matahari.



Baginda Rasullullah S..A.W berkata:Apabila telah sampai ajal seseorang itu maka akan masuklah satu kumpulan malaikat ke dalam lubang-lubang kecil dalam badan dan kemudian mereka menarikrohnya melalui kedua-dua telapak kakinya sehingga sampai kelutut. Setelah itu datang pula sekumpulan malaikat yang lain masuk menarik roh dari lutut hingga sampai ke perut dan kemudiannya mereka keluar. Datang lagi satu kumpulan malaikat yang lain masuk dan menarik rohnya dari perut hingga sampai ke dada dan kemudiannya mereka keluar.Dan akhir sekali datang lagi satu kumpulan malaikat masuk dan menarik roh dari dadanya hingga sampai ke kerongkong dan itulah yang dikatakan saat nazak orang itu.'



Sambung Rasullullah S.A.W. lagi:'Kalau orang yang nazak itu orang yang beriman, maka malaikat Jibrail A.S. akan menebarkan sayapnya yang di sebelah kanan sehingga orang yang nazak itu dapat melihat kedudukannya di syurga. Apabila orang yang beriman itu melihat syurga, maka dia akan lupa kepada orang yang berada di sekelilinginya Ini adalah kerana sangat rindunya pada syurga dan melihat terus pandangannya kepada sayap Jibrail A.S.



'Kalau orang yang nazak itu orang munafik, makaJibrail A.S. akan menebarkan sayap di sebelahkiri. Maka orang yang nazak tu dapat melihat kedudukannya di neraka dan dalam masa itu orang itu tidak lagi melihat orang di sekelilinginya. Ini adalah kerana terlalu takutnya apabila melihat neraka yang akan menjadi tempat tinggalnya.



Dari sebuah hadis bahawa apabila Allah SWT menghendaki seorang mukmin itu dicabut nyawanya maka datanglah malaikat maut. Apabila malaikat maut hendak mencabut roh orang mukmin itu dari arah mulut maka keluarlah zikir dari mulut orang mukmin itu dengan berkata: 'Tidak ada jalan bagimu mencabu roh orang ini melalui jalan ini kerana orang ini sentiasa menjadikan lidahnya berzikir kepada Allah S.W.T.' Setelah malaikat maut mendengar penjelasanitu, maka dia pun kembali kepada Allah SWT dan menjelaskan apa yang diucapkan oleh lidah orang mukmin itu.



Lalu Allah SWT berfirman yang bermaksud: 'Wahai malaikat maut, kamu cabutlah rohnya dari arah lain.' Sebaik saja malaikat maut mendapat perintah Allah S.W.T. maka malaikat maut pun cuba mencabut roh orang mukmin dari arah tangan. Tapi keluarlah sedekah dari arah tangan orang mukmin itu,keluarlah usapan kepala anak-anak yatim dan keluar penulisan ilmu. Maka berkata tangan: Tidak ada jalan bagimu untuk mencabut roh orang mukmin dari arah ini, tangan ini telah mengeluarkan sedekah, tangan ini mengusap kepala anak-anak yatim dan tangan ini menulis ilmu pengetahuan.'



Oleh kerana malaikat maut gagal untuk mencabut roh orang mukmin dari arah tangan maka malaikat maut cuba pula dari arah kaki. Malangnya malaikat maut juga gagal melakukan sebab kaki berkata: Tidak ada jalan bagimu dari arah ini kerana kaki ini sentiasa berjalan berulang alik mengerjakan solat dengan berjemaah dan kaki ini juga berjalan menghadiri majlis-majlis ilmu. 'Apabila gagal malaikat maut mencabut roh orang mukmin dari arah kaki, maka malaikat maut cuba pula dari arah telinga. Sebaik saja malaikat maut menghampiri telinga maka telinga pun berkata: 'Tidak ada jalan bagimu dari arah ini kerana telinga ini sentiasa mendengar bacaan Al-Quran dan zikir.'

Akhirsekali malaikat maut cuba mencabut orang mukmin dari arah mata tetapi barus aja hendak menghampiri mata maka berkata mata: 'Tidak ada jalan bagimu dari arah ini sebab mata ini sentiasa melihat beberapa mushaf dan kitab-kitab dan mata ini sentiasa menangis kerana takutkan Allah.' Setelah gagal maka malaikat maut kembali kepada Allah SWT.



Kemudian Allah SWT berfirman yang bermaksud: 'Wahai malaikatKu, tulis AsmaKu ditelapak tanganmu dan tunjukkan kepada roh orang yang beriman itu.' Sebaik saja mendapat perintah Allah SWT maka malaikat maut menghampiri roh orang itu dan menunjukkan Asma Allah SWT. Sebaik saja melihat Asma Allah dan cintanya kepada Allah SWT maka keluarlah roh tersebut dari arah mulut dengan tenang.



Abu Bakar R.A. telah ditanya tentang kemana roh pergi setelah ia keluar dari jasad. Maka berkata Abu Bakar R.A: 'Roh itu menuju ketujuh tempat:-

1. Roh para Nabi dan utusan! menuju ke Syurga Adnin.

2. Roh para ulama menuju ke Syurga Firdaus.

3. Roh mereka yang berbahagia menuju ke Syurga Illiyyina.

4. Roh para shuhada berterbangan seperti burung di syurga mengikut kehendak mereka.

5. Roh para mukmin yang berdosa akan tergantung di udara tidak di bumi dan tidak di langit sampai hari kiamat.

6. Roh anak-anak orang yang beriman akan berada di gunung dari minyak misik.

7.Roh orang-orang kafir akan berada dalam neraka Sijjin, mereka diseksa berserta jasadnya hingga sampai hari Kiamat.'

Telah bersabda Rasullullah SAW: "Tiga kelompok manusia yang akan dijabat tangannya oleh para malaikat pada hari mereka keluar dari kuburnya:-

1. Orang-orang yang mati syahid.

2. Orang-orang yang mengerjakan solat malam dalam bulan ramadhan.

3. Orang berpuasa di hari Arafah.

Sekian untuk ingatan kita bersama.



Wallahua'lam

Maaz zahir batin dari saya.

Tuesday, August 10, 2010

Ramadhan Datang Lagi

Alhamdulillah syukur kerana masih lagi 'berjumpa ' dengan bulan yang penuh keberkatan;Ramadhan Al Mubarak.

Esok Rabu 11.8.2010 bermula ibadat puasa bagi umat islam di malaysia. Semoga ramadhan kali ini lebih baik dari yang seblumnya, insyaallah...

Amin...........

Sunday, August 1, 2010

Ramadhan Makin Menghampiri..Raya dulu ke puasa dulu...

Oleh NORAINI ABD. RAZAK
noraini.razak@utusan.com.my
KURANG dua minggu lagi umat Islam akan menyambut Ramadan. Maknanya ada kira-kira sebulan lebih, hari raya akan diraikan. Bagi umat Islam, Ramadan sememangnya ditunggu-tunggu. Banyak fadilat dan manfaat yang datang bersama Ramadan. Apatah lagi tahun ini umat Islam di Malaysia sekali lagi menyambut ulang tahun kemerdekaan tanah air dalam bulan Ramadan. Tentu banyak nostalgia mahu dibangkitkan sepanjang Ogos yang merupakan bulan merdeka dan juga bulan untuk umat Islam di negara ini menunaikan ibadah puasa.

Sememangnya rezeki juga datang mencurah-mencurah pada bulan yang menguji ketahanan mental dan fizikal umat Islam.

Manakala hari raya atau kedatangan Syawal pula bagi meraikan kejayaan umat Islam melawan godaan nafsu dengan berpuasa selama 30 hari. Begitulah susun-aturnya - Ramadan datang dahulu sebelum Syawal.

Namun trend kebelakangan ini semacam terbalik. Belum pun sempat Ramadan menjenguk, iklan-iklan hari raya melimpah-ruah. Jualan murah yang tidak diketahui murah atau mahal berlangsung di sana-sini, semua sempena menyambut hari raya. Jualan murah pula tidak terhad pada satu item sahaja. Namakan apa saja pasti ada saja jualan murah yang berkaitan. Baik pakaian, perabot, aksesori, tiket kapal terbang malah pakaian dalam sekali pun kononnya dijual murah semata-mata untuk memeriahkan hari raya.

Bagaimana pula dengan persiapan menyambut Ramadan. Apa yang diuar-uarkan? Terbacakah kita tentang iklan sembahyang terawih di Dataran Merdeka misalnya? Adakah iklan-iklan yang mengajak anak-anak muda bersama-sama menghidupkan Ramadan di Dataran Pahlawan? Atau sama-sama bertadarus di masjid-masjid bagi menambah pengisian sepanjang Ramadan?

Berbuka

Kebiasaannya, yang diuar-uarkan berkaitan bulan puasa adalah bufet berbuka puasa di hotel-hotel. Hotel itu menawarkan RM65++++, manakala hotel ini pula mempromosikan 100 hidangan berbuka dengan hanya RM95++ satu kepala. Ada pula hotel menyediakan hiburan sampingan seperti persembahan ghazal mengiringi majlis berbuka puasa. Untuk menjadi lebih pelbagai dan kononnya kreatif, ada tawaran menginap di hotel dengan pakej bersahur di dalam bilik.

Jelas apabila datangnya puasa dan hari raya, aspek yang diketengahkan hanyalah soal berbelanja, makan, makan dan makan. Seolah-olah Ramadan dan Syawal adalah bulan untuk umat Islam makan sepuas-puasnya seperti mana iklan - dengan RM95++ anda boleh menikmati 100 juadah berbuka puasa. Nikmatilah harga runtuh dan potongan istimewa untuk perabot baru bagi memeriahkan hari raya anda. Jualan musim perayaan, bazar raya dan macam-macam iklan yang mula memenuhi akhbar dan berkumandang di radio serta televisyen.

Bukan untuk menyalahkan iklan lantaran itu adalah strategi perniagaan mereka, tetapi daripada mana mereka belajar strategi itu kalau bukan berpunca daripada sikap umat Islam itu sendiri.

Mungkin hasil kaji-selidik dan pemerhatian syarikat-syarikat iklan, orang Melayu beragama Islam gemar berlebih-lebihan dalam soal menyediakan juadah berbuka puasa. Mereka juga tidak lokek berbuka puasa di hotel. Seperkara lagi, orang Melayu ada kecenderungan makan di hotel semasa Ramadan seolah-olah sepanjang 11 bulan yang lain mereka tidak oleh berbuat demikian. Peliknya harga bufet yang ditawarkan bukanlah rendah - malah dari tahun ke tahun boleh saja dirumuskan harga bufet berbuka puasa semakin mahal. Namun keterujaan berbuka puasa di hotel menyebabkan hotel-hotel berlumba-lumba mengiklankan promosi berbuka puasa di premis mereka.

Perabot

Lebih daripada itu, orang Melayu memang suka menukar perabot, membeli barang kemas, langsir baru, perhiasan rumah yang baru dan pelbagai lagi setiap kali mahu menyambut kedatangan Syawal. Bukan cerita dongeng kalau dikatakan ada yang sanggup berhutang untuk memenuhi keinginan tersebut. Sedangkan jika dihayati konsep Ramadan dan Syawal itu sendiri, elemen pembaziran, menunjuk-nunjuk dan membuang masa tidak termasuk di dalam senarai. Hakikatnya baik Ramadan maupun Syawal membawa nilai muhasabah diri, mengenang insan yang tidak bernasib baik, bersedekah, meningkatkan amalan kebaikan dan mengeratkan silaturrahim.

Sehubungan itu, kepada umat Islam di Malaysia, biarlah Ramadan menjadi persiapan kepada sambutan hari raya yang serba sederhana. Seperkara yang perlu diingat - Ramadan dan Syawal tahun ini mungkin yang terakhir untuk kita. Atau belum tentu kita dapat melalui dua bulan istimewa itu, justeru kurangkan keterujaan yang tiada kaitan dengan ajaran Islam itu sendiri.
Powered By Blogger

Anda adalah pelawat yang ke.....

;

King Of The KOPS

King Of The KOPS

About Me

Hanyalah Manusia Biasa.............

My Blog List

Selamat Datang - Trafik Tak Jem Hari Ini !!

Followers

Islamic Hijri Calendar